KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengumumkan rombakan penting dalam kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelantikan empat pegawai kanan ke jawatan strategik berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Antara pelantikan utama ialah Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Staf Markas ATM.
Selain itu, tiga lagi jawatan kanan turut diisi melibatkan Panglima Angkatan Bersama, Timbalan Panglima Tentera Darat serta Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS).
Menurut kenyataan MINDEF hari ini, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama.
Sementara itu, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan diberi amanah sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat.
Dalam masa sama, Leftenan Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Datuk Zahani Zainal Abidin, dilantik menerajui MIDAS sebagai Ketua Eksekutif.
MINDEF memaklumkan, semua pelantikan tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada kelmarin selepas meneliti syor yang dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lalu.
Mengulas mengenai pelantikan itu, MINDEF menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang telus merupakan asas kepada kepimpinan ATM dan ekosistem pertahanan negara.
Katanya, kepimpinan tertinggi ATM bukan sekadar bertanggungjawab memastikan kesiapsiagaan dan kecekapan operasi, malah memikul amanah besar untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
“Barisan kepimpinan baharu ini diyakini mampu menggalas tanggungjawab besar ini dengan penuh wibawa, integriti dan profesionalisme,” menurut kenyataan itu.










