Pelajar Lelaki Ditemui Maut Dalam Stor Rumah

MELAKA: Suasana tenang sebuah rumah berhampiran Banda Hilir bertukar pilu apabila seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di bahagian stor kediaman terbabit, 14 Mei lalu.

Difahamkan, kejadian sekitar jam 9 malam itu mula disedari selepas mangsa yang juga seorang pelajar sekolah tidak menyahut panggilan ahli keluarganya.

Menurut sumber, keluarga mangsa kemudian bertindak mencarinya sebelum dikejutkan dengan penemuan remaja terbabit di ruang stor belakang rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Ahli keluarga cuba memberikan bantuan bagi menyelamatkan mangsa, namun remaja itu tidak menunjukkan sebarang tindak balas sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian terbabit,” katanya.

Sumber turut memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berdepan tekanan emosi sejak akhir-akhir ini selain menunjukkan perubahan sikap yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal di lokasi kejadian dan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah mahupun kecederaan mencurigakan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

BBerkaitan

Latest articles