Pelajar Jurusan Penerbangan Maut Terjatuh Dari Tingkat 39 Pangsapuri

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki jurusan penerbangan berusia 19 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 39 sebuah pangsapuri di Sungai Besi dalam kejadian malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada pukul 10.53 malam.

“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah restoran nasi kandar berhampiran blok kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati mangsa bertindak keluar melulu dari unit kediamannya dan berlari ke arah tangga sebelum menuju ke tingkat 39 pangsapuri berkenaan.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa bertindak secara bersendirian sebelum dipercayai terjatuh,” kata Aidil.

Turut ditemui berhampiran lokasi kejadian adalah kesan pecahan cermin tingkap dan telefon bimbit milik mangsa, menambah kepada bukti awal mengenai keadaan sebelum kejadian.

Pasukan perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa pada pukul 11.34 malam.

Mayat telah dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

Menurut Aidil, pemeriksaan fizikal ke atas mayat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, badan dan kaki.

Keluarga mangsa memaklumkan kepada polis bahawa remaja itu merupakan seorang yang pendiam dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau tanda kemurungan sebelum ini.

Mangsa juga dikatakan tidak mempunyai teman wanita.

Kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

BBerkaitan

Latest articles