KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang sepatutnya berlangsung hujung November ini ditangguhkan ke Januari tahun depan susulan pertindihan dengan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon dan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah.
“Sebelum ini PAU dijadualkan pada 26 hingga 29 November. Memandangkan tarikh itu bertembung dengan PRN, Umno memutuskan untuk menangguhkan PAU ke 14 hingga 17 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Asyraf, penangguhan itu membolehkan seluruh kepimpinan dan jentera Umno menumpukan sepenuh perhatian terhadap kempen Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Katanya, keutamaan parti ketika ini adalah mengembalikan keyakinan rakyat Sabah agar BN dapat kembali menerajui kerajaan negeri.
“Penangguhan ini diharap memastikan kekuatan Umno dapat digerakkan sepenuhnya demi kemenangan BN Sabah dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, PAU 2025 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Ogos, namun ditunda ke November sebelum dipinda sekali lagi ke Januari 2026.