PATI Yang Ditahan Didapati Negatif Covid-19 Akan Dihantar Pulang Ke Negara Asal

Kerajaan akan menghantar pulang semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dan didapati negatif Covid-19 kembali ke negara asal mereka selepas ditahan di Depoh Tahanan Imigresen.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata operasi memburu mereka juga akan diteruskan biarpun negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ini membolehkan pihak berkuasa menjalankan saringan ke atas mereka dan memastikan status kesihatan mereka.

Kementerian Luar Malaysia akan berbincang dengan kementerian sama negara berkaitan untuk urusan membawa pulang rakyat mereka.

“Antara perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu juga adalah saringan COVID-19 (ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Ismail Sabri berkata, PATI yang positif (COVID-19) akan dihantar ke MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang). Mereka yang negatif setelah menjalani kuarantin dan dirawat di MAEPS perlu dihantar pulang ke negara masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata selain MAEPS, kerajaan turut menambah dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk merawat pendatang tanpa izin positif COVID-19 iaitu Hospital Kusta Sungai Buloh dan Bangunan Wad Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur.

Semua pusat rawatan berkenaan dijangka mampu menampung seramai 1,430 pesakit dalam kalangan pendatang tanpa izin yang positif COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu diskriminasi terhadap golongan PATI di negara ini kerana tindakan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat yang majoritinya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.

BACA JUGA – Kursus Untuk Gelandangan Selepas Aidilfitri – Annuar Musa

“Mereka perlu sedar pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki negara secara haram. Saya tidak tahu (jika ada) mana-mana negara dalam dunia ini yang membenarkan mereka yang masuk secara haram tanpa dokumen sah bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak ada.

“Mereka yang masuk secara haram adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap. Itu jelas dalam undang-undang. Jadi tidak timbul isu.

“Sekurang-kurangnya kita tahu apabila kita tangkap mereka dan dikesan positif COVID-19. Mereka patut berterima kasih kepada kita. Cuba bayangkan kalau tidak ditangkap mereka akan jadi golongan penyebar virus kepada rakyat Malaysia yang tidak bersalah,” katanya. – TRI

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini