KUALA LUMPUR: Krisis politik di Perlis terus membuka pekung dalaman Pas apabila pimpinan negeri itu dilihat berbeza nada dan pendirian berhubung punca sebenar kemelut sehingga jawatan menteri besar beralih kepada Bersatu.
Terbaharu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali secara terbuka menjarakkan parti daripada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil, yang mendakwa kegagalan melaksanakan tanggungjawab menjadi punca utama krisis berkenaan.
Ahmad menegaskan pandangan Adnan itu bersifat peribadi dan sama sekali tidak mencerminkan pendirian rasmi Pas Perlis atau keputusan pimpinan parti.
Menurutnya, kenyataan tersebut dibuat tanpa sebarang rujukan kepada pucuk pimpinan, walaupun sebelum ini ahli dan pemimpin Pas telah diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan sendiri yang boleh mencetuskan kekeliruan serta memburukkan keadaan politik negeri.
Beliau turut mendedahkan bahawa arahan jelas telah dikeluarkan supaya sebarang kenyataan awam dirujuk terlebih dahulu kepada pimpinan negeri atau pusat.
Justeru, Ahmad sekali lagi mengingatkan semua ahli dan pemimpin Pas Perlis agar bertenang, menghentikan budaya saling menyalahkan serta memberi keutamaan kepada kepatuhan terhadap disiplin dan arahan parti.
Dalam masa sama, Ahmad cuba meredakan ketegangan dengan menyuarakan keyakinan bahawa kesatuan Pas Perlis bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu mampu dipulihkan, sambil memaklumkan pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada kepimpinan pusat berhubung langkah seterusnya.
Kemelut politik Perlis tercetus selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN Pas menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Shukri Ramli daripada Pas.
Susulan tindakan tersebut, tiga ADUN Pas berkenaan digugurkan keahlian parti, sekali gus kehilangan status sebagai wakil rakyat.
Shukri kemudiannya meletakkan jawatan atas alasan kesihatan pada 25 Disember sebelum digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu, yang mengangkat sumpah pada Ahad lalu.
Awal hari ini, Adnan mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kegagalan pihak tertentu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, termasuk kegagalan berunding secara berkesan, menyebabkan Pas terlepas peluang mengekalkan jawatan menteri besar.
Beliau turut mendakwa Raja Perlis masih membuka ruang kepada Pas pada saat akhir untuk mencalonkan menteri besar, namun peluang itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.










