PAS Ambil Tanggungjawab Satukan Parti Melayu-Islam

ALOR SETAR: Perpecahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam pada hari ini amat membimbangkan dan boleh menyebabkan kehilangan kuasa untuk mentadbir negara di masa hadapan.

Sehubungan itu PAS mengambil tanggungjawab untuk kembali menyatukan parti-parti berteraskan Melayu-Islam demi perpaduan umatnya.

Dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS ke-68, Abdul Hadi berkata partinya menolak sebarang agenda perpaduan kaum sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

Atas dasar itu juga, PAS memperkenalkan konsep ‘Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk’ yang menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong.

“Jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan. Namun, Pas tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

“Malah, Pas juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus, kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

“Justeru, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran,” katanya.

Abdul Hadi turut memaklumkan parti menyerahkan mandat kepada Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya.

Mandat yang diberikan termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi Pilihan Raya Umum-15 demi memastikan Islam terus memimpin.

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Marang itu menyeru semua pihak berhenti menyerang antara satu sama lain dan membantu membangunkan semula negara.

Malah beliau memuji kebijaksanaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan persefahaman politik bersama parti-parti pembangkang demi mewujudkan kestabilan politik adalah satu langkah yang matang.

Abdul Hadi berkata langkah yang sama diambil PAS sejak dahulu lagi melalui budaya politik matang dan sejahtera (BPMS).

“Hari ini, kita boleh menyaksikan sendiri pendekatan BPMS ini
sememangnya wajar dibudayakan dalam kalangan parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang.

“Saya menyeru kepada parti-parti politik untuk menelaah teras-teras politik BPMS yang diperkenalkan oleh Pas, demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata Abdul Hadi.

Turut hadir pada muktamar hari ini adalah Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddi Yassin dan Presiden Gerakan Senator, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

BBerkaitan

Latest articles