KUALA LUMPUR: Parti-parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijangka memeterai perjanjian esok dalam usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan WARISAN kepada Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sekarang.
“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.
“Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan selepas menerima Kunjungan Hormat Wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timbalan Ketua Mission Michael Newbill di kediamannya, semalam.
Shafie bagaimanapun tidak menyatakan butiran perjanjian kerjasama yang akan dimeterai berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata draf akhir perjanjian gabungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan akan siap tidak lama lagi.
Beberapa perbincangan diadakan berkaitan perjanjian itu yang akan ditandatangani semua parti terbabit atas kepentingan bahawa mereka bersama sebagai satu pasukan dalam Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, kerjasama utuh semua pihak penting bagi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meletakkan Malaysia ke landasan yang tepat.
Katanya, semua pihak perlu mengurangkan berpolitik, sebaliknya bersama-sama mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi rakyat negara ini yang dilihat sangat membimbangkan.
Sementara itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata beliau yakin Anwar akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen ketika pembentangan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
WARISAN sendiri sejak dari awal sentiasa memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
“PH memperoleh jumlah kerusi yang besar iaitu 82 kerusi dan itu bermakna mereka mendapat mandat rakyat. Saya ingat lebih sejuta orang pengundi memilih PH, malah apabila saya lihat gabungan yang ada iaitu dengan BN, itu satu langkah yang cukup baik.
“Saya yakin Anwar akan dapat mandat (sokongan) yang mencukupi untuk membolehkan beliau terus memimpin negara ini,” katanya.
WARISAN dengan tiga Ahli Parlimen adalah antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain beberapa wakil rakyat Bebas dan parti kecil.