Pan Borneo: Agong Zahir Penghargaan Terhadap Najib, Kerajaan Terdahulu

KUALA LUMPUR: Jasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu diingati atas inisiatifnya ketika menerajui kerajaan terdahulu dalam membina Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi Sarawak dan Sabah.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap Najib, selain secara peribadi berterima kasih kerana bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah merealisasikan pembinaan lebuh raya berkenaan.

Dalam masa yang sama, Baginda berharap, lebuh raya tersebut dapat disiapkan dengan lebih kualiti.

Titah terima kasih terhadap Najib disampaikan pada Majlis Penutup serta Santapan Malam sempena Kembara Kenali Borneo dan mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

“Di sini saya ingin secara peribadi harus menyatakan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan kerajaan hari itu yang telah berusaha merealisasikan pembinaan Pan Borneo ini.

“Saya harap ia akan dapat di bina dengan baik, dengan ada kualiti dan mudah-mudahan kalau panjang umur tahun 2030 saya akan kembali,” titah Al-Sultan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anaknda baginda menyertai kembara yang merentasi Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

Rombongan Al-Sultan Abdullah melengkapkan Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September meliputi perjalanan sejauh 2154 kilometer.

Kembara yang diilhamkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong memberi peluang untuk Seri Paduka Baginda membina jambatan silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kembara itu diilhamkan semata-mata untuk mengenali rakyat di Sabah dan Sarawak secara lebih dekat lagi dengan mengambil pendekatan mendampingi dan menyantuni rakyat.

Sementara itu Najib melancarkan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol pada Disember 2016 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

BBerkaitan

Latest articles