Noh yang kena balas jasa UMNO Kata Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar perlu membalas jasa parti Melayu itu yang selama ini banyak membantu membina karier politiknya termasuk menjadi ahli Parlimen selama enam penggal.

Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang berkata bahawa tidak sepatutnya timbul soal ahli-ahli parti itu perlu membalas jasa Noh yang banyak membantu rakyat ketika bergelar wakil rakyat hampir 30 tahun.

“Kali ini bukan kita nak kena balas budi, beliau kena balas budi UMNO, bukan UMNO balas budi beliau.

“Sebab selama enam penggal beliau mendapatkan pelbagai bentuk kemudahan dan nikmat yang orang lain tak dapat.

“Ada ahli-ahli UMNO dari mula masuk UMNO sampai dia pencen dalam UMNO tak pernah rasa jadi calon.

“Bila dapat jadi calon enam kali, beliau sepatutnya membalas jasa UMNO dengan cara beliau tidak masuk parti lain,” katanya pada sidang media tergempar di ibu pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini, malam tadi.

Antara ahli Jawatankuasa dan pimpinan sayap UMNO Tanjung Karang di sidang media tergempar malam tadi

Tambah Sulaiman lagi, Noh harus mengingati bahawa jasa UMNO terlalu besar kepada dirinya termasuk dalam memperoleh gelaran dan pangkat.

“Kenanglah sikit jasa UMNO yang banyak memberi kemudahan kepada beliau dengan pelbagai bentuk terutamanya darjah kebesaran. Itu semua hasil sumbangan UMNO kepada beliau.

Katanya lagi, Noh perlu berlapang dada dengan keputusan UMNO menamakan calon lain dalam pilihan raya lalu dan menghargai segala usaha jentera parti kepada beliau dan tidak merosakkan usaha baiknya selama ini.

“Tempat ini (UMNO Bahagian Tanjong Karang) yang pernah menaikkan nama dia, sepatutnya bukan dipijak tapi dijunjung bersama kami dan berilah peluang kepada anak-anak muda.

“Sudah beri enam penggal, cukup laa bung dan saya rasa ahli-ahli UMNO janganlah terpesona dengan kenyataan kita kena membalas jasa, beliau kena memberi jasa dan sokongan kepada UMNO,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles