Network School Tangguh Pelaburan Baharu di Malaysia, Mahu Jaminan Kerajaan Susulan Kontroversi Forest City

KUALA LUMPUR: Network School yang berpangkalan di Forest City, Johor mengumumkan penangguhan semua rancangan pelaburan baharunya di Malaysia susulan kontroversi yang mengaitkan program itu dengan dakwaan penyertaan warga Israel menggunakan pasport negara kedua.

Pengasasnya, Balaji Srinivasan berkata, keputusan itu dibuat sehingga pihaknya memperoleh jaminan daripada kerajaan Malaysia berhubung kedudukan dan masa depan pelaburan syarikat berkenaan di negara ini.

Menurut beliau, dakwaan yang dilemparkan terhadap Network School disifatkan sebagai berita palsu dan telah membawa kepada siasatan oleh pihak berkuasa, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur serta rakan kongsi mereka.

Katanya, situasi itu turut memberi kesan kepada rancangan pelaburan yang melibatkan eksekutif kanan dan pelabur daripada firma teknologi global yang sebelum ini dibawa ke Forest City.

Balaji berkata, pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan pemeriksaan di kampus Network School pada 14 Julai lalu dan mengesahkan semua dokumen perjalanan peserta adalah teratur.

“Kami sudah melabur lebih RM100 juta di Malaysia, mewujudkan pekerjaan kepada puluhan rakyat Malaysia, wajah serta nama kami dikenali.

“Eksekutif serta pekerja Malaysia kami berhak mendapat kepercayaan berbanding pembuli internet yang tidak dikenali,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Jumaat.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia masih berhasrat menarik pelaburan teknologi global, pihaknya berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi membincangkan memorandum persefahaman (MoU) antara Network School dan kerajaan.

Menurutnya, melalui pendekatan itu, Network School akan terus mematuhi semua undang-undang serta menghormati kedaulatan negara, manakala kerajaan pula dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai hab pelaburan teknologi.

Bagaimanapun, Balaji berkata, jika kerajaan tidak lagi berminat menerima pelaburan daripada Network School dan rakan-rakan pelaburnya, pihaknya akan menghormati keputusan tersebut serta mengalihkan pelaburan ke negara lain.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan seramai 256 daripada 266 warga asing yang diperiksa susulan isu operasi Network School didapati memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial.

Beliau berkata, baki 10 individu lagi memegang Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) di bawah kategori Nomad.

Kelmarin, Zakaria turut dilaporkan berkata, Jabatan Imigresen masih belum menemukan sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan mengenai kehadiran individu warganegara Israel dalam program berkenaan.

Namun, beliau menegaskan siasatan akan diteruskan dan hasil dapatan akan dikongsi bersama agensi berkaitan bagi tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles