Nazri rayu ahli peladang Kinabatangan, Lamag sokong calon BN pada PRK

KINABATANGAN: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah menyeru semua ahli peladang di kawasan Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag supaya memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 24 Januari ini.

Beliau berkata, sokongan padu itu penting bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan sektor pertanian dan kebajikan peladang di kawasan berkenaan terus terpelihara melalui wakil rakyat yang berpengalaman serta memahami keperluan akar umbi.

Menurutnya, calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan calon BN DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob mempunyai latar belakang, rekod perkhidmatan serta komitmen jelas untuk memperjuangkan nasib peladang dan masyarakat luar bandar.

“Sebagai Pengerusi PPNS, saya merayu kepada semua ahli peladang di Kinabatangan dan Lamag agar keluar mengundi dan memberikan undi kepada calon BN demi kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan pertanian di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Nazri turut mengingatkan ahli peladang yang layak mengundi secara awal supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada 20 Januari ini bagi memastikan suara komuniti peladang diambil kira dalam menentukan hala tuju kepimpinan kawasan berkenaan.

Mohd Nazri turut mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di atas sokongan beliau kepada calon BN di Kinabatangan dan DUN Lamag.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kurniawan Naim (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Nazri menegaskan, penyertaan aktif ahli peladang dalam proses demokrasi bukan sahaja menentukan wakil rakyat yang dipilih, malah memberi isyarat jelas bahawa komuniti peladang mahukan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan benar-benar membela kepentingan mereka.

“Undi anda amat bermakna untuk masa depan peladang dan pembangunan pertanian di Kinabatangan serta Lamag,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles