KUALA LUMPUR: Kalau anda bercadang nak bercuti atau jalan-jalan ke Genting Highlands minggu ini, ada satu perkara baharu yang perlu diambil perhatian.
Mulai Khamis, 28 Mei 2026, pengguna kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands akan dikenakan caj jalan sebanyak RM5 bagi kereta dan van.
Pelaksanaan caj tersebut diumumkan oleh Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), pengendali sah rangkaian jalan Genting Highlands.
Bayaran akan dikutip di dua lokasi utama iaitu pintu masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan pintu masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
Selain kereta dan van (Kelas 1) yang dikenakan caj RM5, kadar lain yang ditetapkan adalah seperti berikut:
Lori sederhana (Kelas 2): RM15
Lori berat (Kelas 3): RM25
Teksi (Kelas 4): RM3.30
Bas (Kelas 5): RM5
Bagaimanapun, beberapa kategori pengguna dikecualikan daripada bayaran tersebut termasuk motosikal, kenderaan kecemasan dan kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan sekitar Genting Highlands.
Menurut pihak Genting sebelum ini, caj jalan persendirian itu diperkenalkan bagi membantu menampung kos penyelenggaraan dan pembaikan Jalan Genting Highlands sepanjang 24 kilometer yang ditanggung syarikat sejak tahun 1960-an.
Jalan tersebut merupakan laluan persendirian yang dibina dan diselenggara oleh Genting Malaysia.
Jadi, kalau anda merancang untuk bercuti ke Genting selepas ini, jangan lupa masukkan sekali caj RM5 dalam bajet perjalanan.










