PUTRAJAYA: Sebuah helikopter jenis BO-105 yang menggalas misi murni membawa Khidmat Doktor Udara dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Pendek (STOLport) Long Lellang, Sarawak, hari ini.
Dalam kejadian yang mencemaskan itu, pesawat yang menggunakan nombor pendaftaran 9M-LLF berkenaan membawa seramai lima individu termasuk juruterbang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berkenaan daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
“CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang hari ini, di mana pesawat tersebut beroperasi bagi penerbangan Khidmat Doktor Udara dengan lima individu di atas kapal termasuk juruterbang,” menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan digerakkan untuk menyiasat punca insiden terbabit.
Siasatan menyeluruh ini akan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.










