KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari ini, sekali gus menamatkan peranan beliau menerajui gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan penuh yang diberikan sepanjang tempoh beliau memimpin gabungan berkenaan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan PN serta parti-parti komponennya dalam meneruskan perjuangan politik pada masa hadapan.
Pengumuman tersebut hadir selepas laporan media memetik sumber dalaman Bersatu yang mendakwa Muhyiddin telah menyuarakan hasrat melepaskan jawatan itu dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu lewat malam semalam.
Menurut sumber berkenaan, hasrat itu pada awalnya mendapat bantahan daripada beberapa ahli MPT yang meminta Muhyiddin mempertimbangkan semula keputusannya.
Malah, terdapat pandangan dalam kalangan kepimpinan tertinggi Bersatu bahawa langkah terbaik bagi meredakan kemelut politik semasa adalah dengan mengekalkan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, memandangkan beliau merupakan pengasas Bersatu dan PN.
Sumber sama turut mendakwa, perbincangan dalaman itu turut menyentuh pendirian Pas yang sebelum ini berulang kali menyatakan kecenderungan untuk meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, dengan sebahagian ahli MPT Bersatu dilaporkan bersetuju agar langkah tersebut dipertimbangkan.
Namun begitu, selepas melepasi tengah malam, Muhyiddin dikatakan memaklumkan bahawa keputusan beliau untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN adalah muktamad dan berharap semua pihak dapat menerimanya.
Peletakan jawatan itu juga dilihat selari dengan kenyataan beberapa pemimpin Pas sebelum ini yang menyatakan kesediaan parti berkenaan untuk mengambil alih kepimpinan PN susulan krisis politik yang tercetus di Perlis.










