Menteri UMNO Sedia Beri Keterangan Berhubung Titah Adendum Di Mahkamah Jika Perlu

KUALA LUMPUR: UMNO melahirkan penghargaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam pada itu berkata, parti bersedia bekerjasama dengan Mahkamah Tinggi berhubung keabsahan Titah Adendum seperti yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Malah Menteri-Menteri UMNO juga sedia memberi keterangan kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan.

“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut,” katanya pada sidang media, hari ini.

Najib, pada Isnin lalu berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Januari tahun lalu.

Titah addendum itu menyebut bahawa Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan YDPA, Sultan Ibrahim untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Ia selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi YDPA,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles