Memang Cari Penyakit Bila Sentuh Raja, Sultan, Kata Anwar Kepada PAS

KUALA LUMPUR: Tak perlu bersimpati dengan mana-mana individu atau pihak yang menggunakan institusi diraja untuk menarik sokongan terhadap parti politik mereka, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya jika mahu bermain politik, pihak lawan boleh mengecam beliau kerana itu hak mereka.

“Saya tak ambil tindakan melainkan kalau fitnah itu terlalu berat.

“Sebaik sahaja kamu sentuh raja, memang kamu cari penyakit dan malapetaka,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, malam tadi.

Dipercayai ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merujuk kepada tindakan Pejabat Sultan Perak yang membuat laporan polis semalam, berhubung satu video tular mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, laporan polis dibuat oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak Sabtu lalu demi melindungi nama baik baginda daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih laba politik.

Beliau berkata, pihaknya percaya mereka yang menularkan petikan titah Sultan Nazrin pada 2013 itu mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

Katanya, video tersebut memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 di mana baginda ketika itu memangku sebagai Raja Perak menzahirkan titah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’.

BBerkaitan

Latest articles