SERDANG: Polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan tidak berpakaian dan berikat di tepi jalan berhampiran anak sungai di kawasan Blue Water Estate, Seri Kembangan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, penemuan ngeri itu dilaporkan kira-kira jam 3.45 petang oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita berketinggian sekitar 144 sentimeter, berambut perang paras bahu, berkuku panjang dan memakai subang perak di kedua-dua telinga,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis kini sedang mengesan identiti mangsa serta individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.










