Mayat Bayi Dibuang Di Pantai Dalam Mungkin Dilakukan Orang Luar

KUALA LUMPUR: Tindakan buang mayat bayi cukup sifat dan masih bertali pusat di bawah kereta Proton Iswara di tempat letak kenderaan Apartmen Putra Ria, Pantai Dalam, dipercayai bukan dilakukan oleh penduduk perumahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya selesai menjalankan bedah siasat terhadap mayat bayi itu dan kini menunggu keputusan makmal untuk mengetahui punca kematian mangsa.

“Apa yang dapat dikenal pasti bayi itu bukan dibunuh dan kecederaan yang terdapat pada permukaan badan bayi tersebut adalah berpunca daripada binatang-binatang yang kecil di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bricfields, hari ini.

Menurut Ku Mashariman, kesan gigitan tersebut bukan berpunca daripada gigitan binatang yang besar seperti anjing, tetapi hanya binatang kecil.

Tambah beliau, polis masih belum mengesan suspek yang bertanggungjawab di sebalik tindakan kejam itu dan setakat ini enam saksi termasuk orang yang menemui bayi tersebut serta individu yang ada di sekitar lokasi selesai dirakam keterangan.

Jelasnya, terdapat beberapa petunjuk yang boleh boleh digunakan untuk menjejaki suspek.

“Kita perlu siasat secara mendalam lagi kerana jika kita lihat kawasan itu agak padat dan kekurangan fasaliti seperti Kamera Litar Tertutup (CCTV),” ujarnya.

Ku Mashariman berkata, berdasarkan pengamatan polis, penduduk di kawasan perumahan itu tidak ada yang mengandung kerana bayi yang dilahirkan itu cukup bulan.

Katanya, berdasarkan keadaan fizikal, bayi tersebut mungkin dilahirkan warga asing.

Sebelum ini media melaporkan tentang penemuan mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat di bawah kereta Proton Iswara oleh seorang individu ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di perumahan itu pada 9.33 pagi Jumaat minggu lalu.

Mayat bayi terbabit dijumpai dalam keadaan luka kecil di pipi kiri dan berada dalam keadaan yang cukup sifat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

BBerkaitan

Latest articles