JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) memilih untuk tidak menamakan calon Menteri Besar Johor sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana menghormati kuasa Sultan Johor dalam menentukan pelantikan jawatan berkenaan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berkata pendirian itu diambil bagi mengelakkan gabungan tersebut dilihat mendahului proses yang berada di bawah bidang kuasa institusi diraja.
Menurut beliau, PH lebih mengutamakan penawaran barisan calon yang berwibawa dan bersedia memikul tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Kami mengiktiraf peranan institusi diraja dan tidak mahu mendahului sebarang keputusan. Apa yang kami tawarkan ialah satu pasukan calon yang berkemampuan serta komited untuk berkhidmat kepada negeri dan rakyat,” katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama golongan belia di Iskandar Puteri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PH yang tidak mengetengahkan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ sepanjang kempen PRN Johor.
Maszlee turut menegaskan pengalaman pilihan raya lalu membuktikan pengumuman awal calon Menteri Besar bukan jaminan individu tersebut akhirnya dilantik menerajui kerajaan negeri.
Sebagai contoh, katanya, pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Datuk Hasni Mohammad sebagai calon Menteri Besar, namun jawatan itu akhirnya disandang Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Justeru, beliau berpandangan rakyat seharusnya menilai kekuatan keseluruhan pasukan yang ditampilkan PH, bukannya hanya memberi perhatian kepada seorang individu yang dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar.
Sebelum ini, nama Maszlee sering menjadi perhatian apabila disebut-sebut sebagai antara tokoh yang berpotensi menerajui pentadbiran Johor sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.
Sepanjang kempen PRN Johor juga, bekas Menteri Pendidikan itu beberapa kali diasak mengenai kemungkinan beliau dilantik sebagai Menteri Besar, namun terus berpegang kepada pendirian bahawa soal pelantikan adalah hak dan kuasa Sultan Johor selepas keputusan pilihan raya ditentukan.










