KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 60,698 kelahiran melibatkan warga asing dari Myanmar di Malaysia sejak tahun 2000 hingga 19 Jun lalu, termasuk individu dalam kategori pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, angka berkenaan merangkumi tiga kategori utama iaitu warga Myanmar, warga Burma dan pemegang kad UNHCR.
Menurut beliau, tidak semua pemegang kad UNHCR yang direkodkan terdiri daripada etnik Rohingya kerana terdapat juga kumpulan etnik lain dalam kategori tersebut, namun majoritinya adalah daripada komuniti Rohingya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni MADANI Jabatan Pendaftaran Negara di Kampung Padang Tanjung, hari ini.
Dalam pada itu, Badrul Hisham menegaskan bahawa kelahiran seseorang anak di Malaysia tidak menjamin pemberian kewarganegaraan secara automatik. Sebaliknya, status kewarganegaraan ditentukan berdasarkan kedudukan dan taraf ibu bapa sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang negara.
Beliau turut mengakui terdapat kes kelahiran melibatkan warga asing yang tidak didaftarkan atas pelbagai sebab, termasuk kebimbangan ibu bapa terhadap tindakan penguatkuasaan kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau berada di negara ini tanpa permit yang sah.
Menurutnya, isu kegagalan mendaftarkan kelahiran bukan hanya melibatkan warga asing, malah turut berlaku dalam kalangan rakyat tempatan yang berdepan pelbagai masalah seperti perkahwinan tidak didaftarkan, konflik keluarga serta faktor-faktor lain yang menyebabkan pendaftaran dibuat lewat.
Sehubungan itu, JPN terus mempergiat usaha turun padang menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi memastikan setiap warganegara yang layak memiliki dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran yang sah.
Mengulas mengenai Program Santuni MADANI JPN, beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat, melibatkan lebih 800 penduduk Kampung Padang Tanjung.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan sepanjang program berkenaan termasuk Jualan Rahmah MADANI, pertandingan sepak takraw, pertandingan mewarna kanak-kanak serta penyediaan perkhidmatan berkaitan sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Katanya, program itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan lain sebagai manifestasi komitmen bersama dalam menjayakan agenda Kerajaan MADANI di peringkat akar umbi. – Bernama










