Malaysia melonjak lima tangga Ranking Daya Saing Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-27 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023, naik lima tangga daripada kedudukan ke-32 pada tahun lalu.

Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, penilaian bagi ranking tahunan itu adalah berdasarkan kepada empat sektor iaitu prestasi ekonomi; kecekapan kerajaan; kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Melalui laporan itu, Malaysia menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa bidang utama iaitu dari segi harga di bawah sektor prestasi ekonomi, dasar percukaian di bawah sektor kecekapan kerajaan serta infrastruktur asas dan teknologi di bawah sektor infrastruktur.

Namun, terdapat beberapa bidang yang kurang menyerlah iaitu perundangan perniagaan dan rangka kerja kemasyarakatan di bawah sektor kecekapan kerajaan serta produktiviti dan kecekapan di bawah sektor kecekapan perniagaan.

“Malah, Malaysia juga tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam kedudukan bidang utama iaitu pendidikan, kesihatan dan persekitaran di bawah sektor infrastruktur.

“Berbanding 14 negara di dalam Asia Pasifik pula, Malaysia berada di kedudukan keenam,” katanya.

Laporan WCR 2023 untuk menilai prestasi Malaysia itu adalah melalui kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Laporan itu menambah, cabaran yang dihadapi Malaysia pada 2023 adalah untuk memperkukuhkan pembangunan bakat melalui model pasaran buruh didorong permintaan bagi memastikan tenaga kerja tersedia untuk industri.

Selain itu, cabaran lain adalah mengubah pemikiran dalam mengutamakan digital dan meningkatkan teknologi digital merentasi pelbagai sektor.

Malah, peningkatan produktiviti dan daya saing melalui pembaharuan kawal selia untuk kemudahan menjalankan perniagaan di peringkat nasional dan sub nasional turutb menjadi cabaran selain meningkatkan pembangunan lestari alam sekitar untuk kualiti hidup yang lebih baik.

WCR 2023 menamakan Denmark, Ireland dan Switzerland sebagai tiga negara teratas dalam kalangan 64 ekonomi yang diukur untuk daya saing global.

Ketiga-tiga negara itu adalah ekonomi bersaiz kecil yang menggunakan akses mereka kepada pasaran dan rakan kongsi dagangan dengan baik, begitu juga Singapura, yang menduduki tempat keempat.

Mengulas ranking pada tahun ini, Ketua Ekonomi WCC, Christos Capolis, berkata mengharungi persekitaran yang tidak dapat diramalkan hari ini memerlukan ketangkasan dan kebolehsuaian.

Beliau berkata, negara yang cemerlang sedang membina ekonomi berdaya tahan, seperti yang berlaku di Ireland, Iceland dan Bahrain.

“Kerajaan negara ini juga dapat menyesuaikan dasar berdasarkan keadaan ekonomi semasa tepat pada masanya. Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar dan Singapura juga menjadi contoh utama perkara ini,” katanya.

Pengarah WCC, Prof Arturo Bris pula berkata, ranking 2023 juga menyerlahkan ekonomi yang lambat dibuka selepas pandemik COVID-19 mula melihat peningkatan dalam daya saing mereka seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Namun, beliau berkata, negara yang awal membuka ekonomi selepas pandemik kini mula menyaksikan penurunan seperti Sweden dan Finland.

Katanya, Eropah masih cemerlang dalam ranking, seperti pada 2022, dengan lima ekonomi berada dalam 10 kedudukan teratas.

Beliau menambah, ekonomi paling berdaya saing juga cenderung mempunyai institusi yang kukuh dan cekap.

“Keupayaan sesebuah negara untuk menjana kemakmuran rakyat adalah penentu utama kejayaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles