Mahkamah Tolak Permohonan Muhyiddin Dapat Pasport Kekal, Dibenarkan Sementara Hingga Januari 2024

KUALA LUMPUR: Permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal dan tanpa syarat ditolak Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Azura Alwi ketika membacakan keputusan berkata, mahkamah menolak permohonan untuk mengembalikan pasport Presiden Bersatu itu untuk bercuti bersama keluarganya hujung tahun ini di London sebelum ke Singapura bagi tujuan perubatan.

Ini kerana Muhyiddin masih lagi berdepan dengan tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan mahkamah tidak boleh memulangkan pasport tertuduh secara kekal.

Sebaliknya kata Azura, tertuduh boleh memohon untuk pemulangan pasport secara sementara memandangkan selain bercuti, Muhyiddin juga mendedahkan akan menggunakan peluang ke luar negara bagi tujuan perubatan.

“Mahkamah menolak untuk memulangkan pasport tertuduh secara kekal dan permohonan itu juga bertujuan untuk bercuti bersama keluarga dan perubatan.

“Namun saya benarkan pasport pemohon dipulang sementara bermula hari ini dan di kembalikan pada mahkamah 15 Januari 2024,” katanya hari ini.

Pemulangan sementara pasport kepada Muhyiddin dilakukan selepas pihak pendakwaan tidak membantah manakala peguam mewakili Muhyiddin, Datuk K Kumaranendran pula memohon supaya ia dipulangkan hari ini.

Kata peguam itu, anak guamnya akan memulakan perjalanan ke luar negara sekitar 17 Disember ini ke Dubai sebelum ke London dan pulang pada 11 Januari depan.

“Kita mohon supaya pasport dipulangkan awal kerana pasport itu sudah luput tarikh dan memerlukan beberapa bagi tujuan pembaharuan sebelum boleh melakukan perjalanan ke luar negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin memberitahu adalah menjadi rutin keluarganya untuk bercuti selama sebulan setiap tahun.

Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan perancangan bercuti ke London, United Kingdom pada akhir tahun.

Muhyiddin juga menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau percaya bahawa Hospital Mount Elizabeth ada teknologi canggih bagi membolehkannya membuat pemeriksaan jantung tanpa ujian stres jantung atas ‘treadmill’ atau pengisar injakan.

BBerkaitan

Latest articles