M40 Terkesan Sos Sara Hidup: Kerajaan Perkenal Lapan Inisiatif, Rayuan Bantuan Dibuka Setiap Hari

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2027 bagi membantu golongan pertengahan (M40) menghadapi peningkatan kos sara hidup, termasuk pengurangan kadar cukai pendapatan, peluasan pelepasan cukai dan bantuan tunai.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan mengambil kira kebimbangan golongan M40 yang turut berdepan tekanan kewangan meskipun tidak lagi layak menerima sesetengah bantuan bersasar.

Menurutnya, antara langkah yang diumumkan ialah menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi julat pendapatan bercukai tertentu sebanyak satu mata peratusan.

“Kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala julat RM100,001 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus.

“Selain itu, pelepasan cukai individu turut diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek serta pembelian peralatan sukan termasuk kasut sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai langkah membantu isi rumah M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta mekanisme menilai semula kelayakan bantuan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Liew berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan 70 tahun kemerdekaan negara, yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.

Dalam usaha mengurangkan perbelanjaan isi rumah, perlindungan subsidi elektrik juga diperluas kepada penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan, sekali gus memanfaatkan sehingga 90 peratus pengguna domestik.

Kerajaan turut meneruskan pelbagai inisiatif berkaitan subsidi bahan api, meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Mikro MADANI kepada RM750 juta dengan sasaran 35,000 penganjuran, serta menaikkan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid tanpa mengira golongan.

Kemudahan pas bulanan My50 juga diteruskan, manakala pas MyKomuter50 diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada 40,000 pengguna KTM Komuter.

Bagi membantu golongan M40 memiliki rumah pertama, kerajaan turut mencadangkan penambahbaikan pengecualian duti setem.

Pengecualian 100 peratus dicadangkan bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik untuk rumah berharga sehingga RM500,000.

Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000 pula, pengecualian 100 peratus diberikan bagi RM500,000 pertama dan 50 peratus bagi baki harga rumah.

Dalam soalan tambahan, Adnan membangkitkan nasib isi rumah M40 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami kemerosotan pendapatan, sehingga kedudukan kewangan semasa mereka tidak lagi mencerminkan rekod pendapatan terdahulu.

Beliau merujuk statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan seramai 511,600 penganggur setakat Ogos 2026.

Adnan meminta penjelasan mengenai mekanisme yang akan dilaksanakan bagi memastikan golongan berkenaan dapat dinilai semula kelayakan menerima bantuan bersasar berdasarkan keadaan kewangan semasa dan tidak tercicir akibat rekod pendapatan terdahulu.

Menjawab perkara itu, Liew berkata kadar pengangguran negara sentiasa dipastikan berada di bawah empat peratus.

Beliau turut menjelaskan bahawa rayuan bagi bantuan kerajaan dibuka setiap hari bagi membolehkan penerima mengemukakan permohonan semula sekiranya berlaku perubahan status atau keadaan kewangan.

“Setiap penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah dan mereka boleh buat rayuan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan golongan pertengahan terus terangkum dalam menerima manfaat pelbagai inisiatif yang disediakan.

BBerkaitan

Latest articles