KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah gagasan perpaduan berdepan risiko berhayat pendek sekiranya gagal menterjemahkan slogan reformasi dan tatakelola kepada penyelesaian sebenar terhadap krisis yang dihadapi rakyat.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kegagalan menangani tekanan ekonomi dan kos sara hidup secara menyeluruh menyebabkan pelbagai lapisan masyarakat terus berdepan kesempitan hidup.
Menurut beliau, keadaan itu turut dirasai golongan pendidik, penjawat awam, peniaga, petani dan nelayan yang berdepan masalah ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.
Abdul Hadi menyifatkan gabungan pentadbiran yang menghimpunkan pelbagai ideologi sebagai sebuah formula yang tidak selari dengan kehendak rakyat Malaysia.
“Adapun PH laksana bahtera yang tidak tahan dilambung ombak.
“Hal ini menyebabkan ada sebahagian daripada mereka yang terjun ke laut, ada juga yang berpindah kapal dan yang menumpang sampan kecil, malah ada yang berenang bersama pelampung dan ada juga yang terus tenggelam ditimbus gelombang politik yang bergelora,” katanya menerusi hantaran Minda Presiden PAS hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengkritik pendekatan kerajaan dalam menangani isu rasuah yang sebelum ini diisytiharkan sebagai antara agenda besar pentadbiran.
Beliau mendakwa usaha membanteras rasuah masih belum dilaksanakan secara menyeluruh, selain mendakwa tindakan penguatkuasaan dilihat seolah-olah memilih pihak tertentu.
Katanya, terdapat keadaan yang menyaksikan pihak tertentu dikenakan tindakan, manakala mereka yang dianggap sebagai rakan atau menyerah diri pula seolah-olah diberikan ruang untuk diselamatkan.
“Lebih menghairankan, kalangan penyumbang rasuah pula berada dalam kedudukan yang paling selamat.
“Hal ini secara jelas bercanggah dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 135 mengenai kewajipan menegakkan keadilan,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Abdul Hadi mendakwa antara punca kegagalan menyelesaikan masalah negara secara menyeluruh ialah kebergantungan kepada ideologi sekularisme yang diwarisi daripada penjajahan dan berteraskan kebendaan (al-maddiyyah), tanpa disertai landasan akhlak serta nilai kerohanian.
Beliau turut menyifatkan pendekatan menambah peruntukan atau angka semata-mata sebagai kaedah lama yang tidak menyelesaikan akar permasalahan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan negara supaya kembali kepada acuan Islam yang menekankan konsep wasatiyyah, iaitu keadilan dan kesederhanaan dalam pentadbiran.
Katanya, prinsip itu perlu disertai ketegasan dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar bagi memastikan kepentingan rakyat terus terbela serta masa depan negara lebih terjamin.
Abdul Hadi berkata, pendekatan berasaskan nilai, keadilan dan akhlak perlu diberi keutamaan supaya masalah ekonomi, sosial dan pentadbiran dapat ditangani secara menyeluruh, bukan sekadar melalui penyelesaian bersifat jangka pendek.










