Lemah Tangani Isu Ekonomi Rakyat, PN Dakwa Kerajaan Anwar ‘Tak Boleh Diharap’

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) terus menyerang Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gabungan itu mendakwa ia sebagai “tidak boleh diharap”.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa banyak rungutan rakyat berhubung cara kerajaan mengurus ekonomi negara, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar faedah, dan pasaran saham yang tidak bersemangat.

“Rakyat nak tahu apa rancangan kamu?” soal Muhyiddin, dan menambah rakyat memberi peluang kepada Anwar ketika menuju 100 hari pertama pentadbirannya.

“Apa jadi? Tiada apa-apa,” katanya memetik temubual eksklusif bersama FMT.

“Tetapi, kemudian orang kata ‘baru 100 hari’. Berilah masa lebih sikit. Sekarang sudah tujuh bulan.

“Beliau pergi luar negara dan macam-macam tempat, tetapi urusan hal ehwal domestik tidak jadi tumpuan,” katanya.

Menurutnya, ramai isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) tergolong dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% bawahan (B40) sejak pandemik Covid-19.

Kemerosotan ini petanda krisis akan melanda, tegas Muhyiddin yang mengakui ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Bukan saja Anwar dilihat tidak berupaya mengawal harga barang, beliau turut mempersoalkan peranan jawatankuasa Jemaah Menteri ditubuhkan untuk menangani kos sara hidup.

Bukan itu sahaja, kritikan PN juga menuju terhadap Anwar berkenaan kestabilan kerajaan perpaduan.

Dakwa bekas Perdana Menteri itu, kerajaaan perpaduan pimpinan Anwar dilihat “berpecah”, kononnya lebih teruk jika hendak dibandingkan dengan pakatan pimpinan PN.

“Siapa yang lebih padu?” soal Muhyiddin, menyenaraikan percakaran antara Umno dengan DAP serta antara Umno dengan MCA sebagai contoh.

“Kami tak ada masalah sedikit pun.”

Menurut Muhyiddin, Anwar yang bimbang akan kelangsungan PH sedar beliau bergantung kepada sokongan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

BBerkaitan

Latest articles