Lebih 1,000 Hotel Di Langkawi Berjaya Ditempah Dalam Tempoh Sejam Selepas PM Umum PKPP

Sebaik sahaja Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) petang tadi, dimaklumkan lebih dari 1,000 buah bilik hotel berjaya ditempah dalam tempoh sejam.

Perkembangan itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainuddin Kadir sebagai satu tanda aras yang positif bagi sektor pelancongan yang menerima impak terbesar sepanjang wabak Covid-19 berlaku pada Mac lalu.

“Untuk makluman juga, pada jam 4 petang sehingga 4:45 petang tadi kita telah menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam.

“Ini adalah rekod, semua hotel-hotel kita telah menerima 1,000 tempahan daripada semua pelancong domestik yang hendak ke Langkawi,” ujarnya memetik laporan Astro Awani.

Bagi memulihkan ekonomi sektor pelancongan, Zainuddin berkata persatuan menetapkan sasaran sehingga satu juta pelancong ke Langkawi mulai 10 Jun hingga 31 Disember depan.

Dalam masa yang sama, beliau berharap perincian berkenaan kemudahan yang akan digunakan di hotel seperti kolam renang dapat dilakukan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun lokasi dan tumpuan utama pelancongan di Langkawi seperti taman tema dan kereta kabel masih ditutup kepada orang ramai.

Untuk rekod, PKPP akan menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun ini hingga 31 Ogos depan.

BBerkaitan

Latest articles