KUALA LUMPUR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoal tindakan Perdana Menteri melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan yang didakwanya sebagai satu pengkhianatan agenda reformasi yang selama ini diperjuangkan PKR.
Malah, tindakan itu tidak selari dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam soal amalan pemusatan kuasa, katanya lagi.
“Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara. Inikah reformasi yang dicanang selama ini?
“Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 janji PH ialah pisahkan peranan dan jawatan Menteri Kewangan daripada Perdana Menteri?
“Ini bukan sekadar langgar janji tapi terus khianat agenda Reformasi yang kamu laungkan saban tahun,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya, hari ini.
Semalam, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh mengesahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah berkata, beliau memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan sejauh mana pelantikan itu mampu mewujudkan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Apa jaminan skandal 1MDB takkan berulang dengan peranan yang tidak dipisahkan sebegini? Apa kata Abang Mat Sabu kita?
“Apa beza keluarga Anwar dengan keluarga Trump? Adakah ini makna dan prinsip pentadbiran Madani yang nak dibangunkan untuk bawa Malaysia menjadi maju? Pakat-pakat nilai,” katanya lagi.