PUTRAJAYA: Saya tak buat keputusan berdasarkan khabar angin, demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan ‘Langkah London’ seperti mana tular di laman sosial baru-baru ini.
Ahmad Zahid menegaskan, dakwaan tersebut hanya khabar angin.
“Saya dengar khabar angin (sahaja), (saya) tak buat keputusan based on rumours (berdasarkan kepada khabar angin),” katanya dalam sidang media sempena Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan wujud ‘Langkah London’ dalam cuba untuk menjatuhkan kerajaan Perpaduan yang melibatkan beberapa pemimpin politik, termasuk dari UMNO.
Terdahulu, tersebar satu gambar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan tertutup di London.
Pada masa sama, turut menerima tempias spekulasi itu adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
Ismail Sabri mendakwa beliau menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang “tidak mengenal dosa”.
Tegasnya, beliau tidak pergi atau bercuti ke London baru-baru ini sebaliknya menghabiskan masa bersama keluarganya di Timur Tengah.
Kumpulan itu dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.