Kontroversi Tajuk Berita: Puad Dakwa Najib Sengaja Dihina

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengecam sebuah akhbar arus perdana selepas portal itu menyiarkan tajuk berita yang menurutnya bersifat menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Teguran keras itu merujuk kepada tajuk “Titah Adendum: Najib sudah tua, keputusan dicepatkan ke 22 Dis.” yang disiarkan semalam, sekali gus menimbulkan persoalan besar kepada beliau termasuk sama ada kenyataan sedemikian benar-benar dikeluarkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

“Tajuk itu amat menghina. Apakah ada arahan daripada pihak tertentu dalam kerajaan atau daripada Utusan sendiri untuk menghasilkan tajuk seperti itu?” soal Puad dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kelewatan menguruskan titah adendum yang dikatakan telah diputuskan sejak 29 Januari 2024.

“Kalau benar faktor usia dijadikan alasan, mengapa titah adendum itu ditangguhkan begitu lama? Kenapa perkara ini tidak pula dikupas oleh Utusan?” katanya.

Menurut Puad, pejabat Peguam Negara juga tidak dipersoalkan oleh akhbar tersebut berhubung tindakan merayu keputusan mahkamah termasuk permohonan ‘gag order’, yang menurutnya menyebabkan hampir dua tahun terbuang begitu sahaja.

Puad menegaskan bahawa Najib tidak pernah merungut soal usia dan terus konsisten memperjuangkan keadilan meskipun seolah-olah sering “dipermain-mainkan”.

“Presiden UMNO sendiri sanggup ambil risiko apabila membuat affidavit. Apa motif Utusan? Siapa suruh?” ujarnya lagi.

Semalam media melaporkan keputusan berhubung kesahan dan pelaksanaan titah adendumyang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di kediamannya dipercepatkan ke 22 Disember ini.

Perkara itu disahkan oleh Shamsul selepas pengurusan kes tersebut berlangsung secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching.

BBerkaitan

Latest articles