Komples ICQS Padang Besar Ditutup Ekoran Covid-19

Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar ditutup mulai hari ini berikutan enam warga Thailand yang melaluinya untuk kembali ke negara asal kelmarin disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais, berkata penutupan berkuat kuasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sehubungan itu juga, katanya seramai 34 petugas di ICQS berkenaan membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia diarah menjalani kuarantin 14 hari atas faktor keselamatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata enam warga Thailand itu antara kumpulan 39 pelajar yang menuntut di sebuah universiti di Riyadh, Arab Saudi dan kepulangan mereka diuruskan sepenuhnya kerajaan Thailand sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Perkara ini dimaklumkan kerajaan Thailand hari ini bahawa dalam kumpulan terbabit, enam daripadanya disahkan positif COVID-19.

“Tiga daripada mereka menjalani proses kuarantin di Songkhla, manakala tiga lagi menjalani kuarantin di rumah di sana.

“Jadi sebagai langkah keselamatan kita menutup urusan berkaitan di Kompleks ICQS bermula hari ini kepada semua pihak termasuk kakitangan bertugas untuk melakukan proses sanitasi dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ruzaini berkata, semua kakitangan bertugas pada 25 Mei lalu akan menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar bermula hari ini.

“Jadi saya ingatkan lagi sekali kepada rakyat di negeri ini untuk lebih berjaga-jaga berikutan timbulnya kejadian sebegini.

“Walaupun berada di zon hijau, kita tidak boleh memandang ringan akan perkara sebegini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles