KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharamkan penjualan produk gula-gula gummy berbentuk mata di semua platform dalam talian dan pasaran domestik susulan insiden tragis yang melibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat tercekik.
Dalam satu kenyataan hari ini, KKM menegaskan tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan produk akan dilakukan berdasarkan peraturan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Hasil siasatan mendapati produk berkenaan melanggar keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Saiz atau bentuk sesuatu makanan tidak tertakluk di bawah peraturan ini kecuali bagi konfeksi jeli terkawal yang mempunyai diameter kurang atau sama dengan 45 milimeter.
“Produk sebegini mesti dilabel dengan amaran ‘BOLEH MENYEBABKAN RISIKO TERCEKIK’ serta kenyataan ‘TIDAK SESUAI BAGI KANAK-KANAK DI BAWAH 3 TAHUN’,” kata KKM dalam kenyataan tersebut.
KKM turut menasihatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak, terutama makanan berisiko tinggi menyebabkan tercekik.
“Insiden tercekik lebih kerap berlaku dengan makanan yang keras, kenyal, kecil dan berbentuk bulat yang mudah tersekat di saluran pernafasan,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, kementerian memberi jaminan akan memperhebat aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan makanan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Keputusan ini dibuat selepas seorang murid Darjah Empat, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10 tahun, meninggal dunia akibat tercekik gula-gula gummy berbentuk mata di Kepala Batas, Pulau Pinang pada malam Khamis lalu.
Mangsa rebah di kelasnya sebelum dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang namun disahkan meninggal dunia akibat komplikasi tersedak dan pneumonia (hipoksia iskemia ensefalopati).
Menurut bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, punca kematian yang tertera pada sijil kematian anaknya jelas menunjukkan bahaya makanan berbentuk kecil dan kenyal kepada kanak-kanak.
Berikutan insiden ini, KKM menegaskan semua pengambilan makanan oleh kanak-kanak perlu diawasi oleh ibu bapa atau penjaga bagi mengelakkan risiko tercekik yang boleh mengancam nyawa.