KUALA LUMPUR: Kemaraan Pakatan Harapan (PH) untuk kembali mentadbir negara perlu disekat dalam PRU15 kali ini.
Sehubungan itu pengundi PAS si Terengganu hendaklah memilih Barisan Nasional (BN) pada 19 November ini, demikian menurut penyandang Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau percaya Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai PAS tidak mampu melawan PH.
“Menghalang mudarat PH adalah wajib kerana mudarat mereka mestilah dihilangkan dan sepatutnya ia dilakukan dengan muafakat PAS dan UMNO yang besar bilangan sokongan 3.4 juta ahli campur sejuta ahli jadi 4.4 juta penyokong.
“Tapi yang 4.4 juta tak berlaku maka kena sokong yang ahlinya 3.4 juta, jangan sokong yang sejuta yang campur entah berapa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Yang boleh halang PH menang hanyalah BN.
“Perikatan Nasional (PN) tak mampu nak sekat PH. Undi kepada PN hanya akan pecahkan undi maka orang-orang PAS, kena undi BN kali ini. Ahli PAS kekal dan istiqamahlah dengan PAS tapi undilah BN untuk halang mudarat PH,” katanya semasa berucap pada program Sarapan Pagi Bersama Veteran UMNO di Perkarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir.
Turut hadir ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata, beliau berhak bercakap soal Muafakat Nasional (MN) kerana terlibat secara langsung dengan proses merealisasikan penyatuan dua parti Melayu-Islam sejak awal sebelum BN tewas pada PRU14.
“Saya merupakan antara wakil Pas yang terlibat secara langsung sejak awal lagi untuk menyatukan Pas dan UMNO,” katanya.