Tiga Pelakon Video Didakwa Persenda Rukun Negara Ditahan, Individu Tular Rakaman Diburu

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti terbabit dalam rakaman pementasan teater pada 2018 yang tular semula dan didakwa mempersendakan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata tiga individu berusia antara 28 hingga 47 tahun itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita yang ditahan di Selangor serta Johor, Isnin lalu.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan dirakam, manakala pemeriksaan telefon dan gajet mereka tidak menemukan sebarang bahan berkaitan pementasan itu.

Menurut Kumar, daripada lima pelakon dikenal pasti, seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom (UK).

Beliau berkata, pementasan berkenaan berlangsung secara tertutup di sebuah pusat seni persembahan di Pulau Pinang pada 2018 dan rakaman terbabit tidak pernah tular ketika itu.

Kini, polis memberi tumpuan mengesan individu yang menularkan semula video berkenaan, termasuk meneliti alamat Protokol Internet (IP) yang berkaitan.

Pementasan itu dipercayai membabitkan beberapa kumpulan yang diberikan masa antara 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan, sebelum pemilihan dibuat bagi menentukan persembahan terbaik.

Kumar berkata, pusat seni berkenaan kini sudah ditutup, manakala pengarah pementasan yang merupakan warga UK dipercayai telah meninggalkan Malaysia.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan dan nasihat lanjut.

BBerkaitan

Latest articles