Kes Pukul OKU: Polis Tahan Pempengaruh Bantu Siasatan Keluar Kenyataan Ugut

KUALA LUMPUR: Pempengaruh sosial media ditahan polis bagi membantu siasatan susulan mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan serta mendatangkan kegusaran awam berhubung kes pukul melibatkan orang kurang upaya (OKU).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhammad Wan Ja’afar berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Segamat, Johor pada jam 6.55 pagi tadi.

“Satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berumur 40 tahun itu pada jam 7.33 malam, Khamis lalu mengenai satu hantaran di aplikasi media sosial milik seorang pempengaruh yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan mendatangkan kegusaran awam berkaitan kes OKU dipukul,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini media melaporkan insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, di Kemaman.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan, lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di atas jalan.

Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah bertindak memukul mangsa.

BBerkaitan

Latest articles