PUTRAJAYA: Kerajaan memberi bayangan jelas bahawa undang-undang sedia ada bakal dipinda susulan serbuan besar-besaran di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit yang membawa kepada penahanan 201 individu, termasuk penjawat awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan masih berjalan dan pendedahan awal menunjukkan operasi itu mengambil masa berbulan-bulan untuk dipantau sebelum tindakan diambil.
Menurut beliau, penguatkuasaan ketika ini dilakukan menggunakan undang-undang di bawah JAWI dan Kanun Keseksaan, namun peruntukan sedia ada didapati “tidak memadai” untuk menangani kes seumpama itu.
“Kita serbu, kita tangkap… tetapi bila undang-undang tidak cukup kuat, mahkamah tolak reman. Ini bermakna kita perlu lihat semula akta yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium IPCC 2025.
Mengulas dakwaan kononnya operasi itu mencabuli privasi pengunjung spa, Saifuddin menolak hujah tersebut.
“Privasi itu wujud kalau seseorang berada bersendirian di rumah. Ini premis awam dengan 201 orang… privasi apa lagi?” ujarnya sambil menegaskan polis perlu mengimbangi hak sivil dan tanggungjawab mengekang aktiviti tidak bermoral.
Beliau turut memaklumkan siasatan tidak terhenti meskipun semua individu terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis, dan mereka boleh dipanggil semula bila perlu bagi melengkapkan kertas siasatan.










