Kerajaan Benar Solat Jumaat, Jemaah Di Masjid, Surau Di Zon Hijau WP

Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid dan surau di zon hijau di Wilayah Persekutuan (WP) dengan kapasiti jemaah sebanyak satu pertiga daripada kapasiti penuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan sembah cadangan Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah perkenan bagi cadangan tersebut.

“Bagi Wilayah Persekutuan, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.

“Ini bermula dengan solat Jumaat pada 12 Jun 2020 bersamaan 20 Syawal 1441H.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Lebih lanjut, setiap masjid, surau Jumaat dan surau dibenarkan untuk melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah itu sendiri sebanag membantu kawalan sepanjang solat ditunaikan.

Dalam pada itu wanita juga dibenarkan untuk solat di masjid atau surau dengan syarat ditemani mahram.

Begitu juga dengan warga emas, mereka turut dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid dan surau dengan syarat mempunyai tahap kesihatan yang baik.

“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan ‘rider’ perkhidmatan e-hailing.

“Kuliah Maghrib dan kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat, iaitu kuliah Maghrib dihentikan sebaik sahaja masuk waktu Isya.

“Manakala kuliah Subuh boleh berlangsung sekitar 20 hingga 30 minit sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun Zulkifli memaklumkan sebarang bentuk jamuan makan selepas kuliah tidak dibenarkan buat masa ini.

Sementara itu, bagi mereka yang bukan warganegara, Zulkifli berkata ketetapan untuk menunaikan solat di masjid dan surau bagi golongan itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sebagaimana yang saya telah tegaskan, kebenaran pembukaan masjid, surau Jumaat dan surau ini adalah secara berperingkat bermula 15 Mei 2020 tempoh hari. Insya-Allah, sedikit masa lagi kita akan dapat sama-sama mengimarahkannya,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles