KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah disifatkan pasukan pembelaan sebagai berpotensi mewujudkan preseden baharu dalam sistem keadilan negara, khususnya melibatkan semakan terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
Ketua peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata keputusan itu membuka ruang lebih luas kepada mahkamah untuk meneliti dan mentafsir proses dalaman Lembaga Pengampunan, iaitu sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, kes berkenaan boleh mencetuskan “floodgate effect” atau kebanjiran permohonan bagi mendapatkan penjelasan terperinci tentang bagaimana keputusan pengampunan dibuat.
Pada prosiding pagi ini, Hakim Alice Loke Yee Ching menolak semakan kehakiman Najib selepas memutuskan bahawa Titah Adendum yang dijadikan asas permohonan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Shafee turut menyatakan rasa terkejut terhadap pendekatan dan tafsiran undang-undang yang diambil, sambil menegaskan banyak aspek keputusan memerlukan penelitian lanjut.
Beliau mengesahkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat dan melahirkan kekecewaan kerana Najib telah menunggu lebih dua tahun berhubung isu Titah Adendum tersebut.
Untuk rekod, Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh pemenjaraan daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.










