Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh, di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) didapati positif dadah.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pemandu itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Pemandu treler berusia 40 tahun dan berasal dari Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut,” katanya.
Dalam kemalangan petang semalam, dua mangsa wanita maut manakala tiga lagi termasuk pemandu van yang dihempap struktur binaan lebuh raya SUKE itu cedera parah.
Kemalangan berpunca daripada lori treler yang membawa lebih muatan melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) menyebabkan struktur binaan tersebut runtuh dan menghempap sebuah van kilang.
Kemalangan menyebabkan kesesakan teruk di Lebuhraya MRR2.