Kanak-Kanak 5 Tahun Maut Terperangkap Dalam Van Sekolah Selama Lima Jam

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat lemas selepas dipercayai terperangkap hampir lima jam dalam sebuah van sekolah di Taman Bukit Indah, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van kira-kira jam 12 tengah hari dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Mangsa menaiki van dari rumah untuk ke sebuah tadika di Taman Bukit Indah sekitar jam 7.30 pagi. Namun, dipercayai tertinggal dalam van selepas pemandu menurunkan kanak-kanak lain di hadapan tadika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasat.

Susulan insiden menyayat hati itu, pemandu van berusia 56 tahun ditahan polis pada jam 2.40 petang di kawasan sama bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal juga menunjukkan dia negatif dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak,” jelas Kumarasan.

BBerkaitan

Latest articles