Kalau Tak Mahu MP Tukar Sokongan, Tun M Selaku Penasihat Pembangkang Kena Main Peranan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad gagal selaku Penasihat Pembangkang apabila lima orang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil membidas kritikan bekas Perdana Menteri itu yang mendakwa terdapat unsur rasuah dalam pemberian peruntukan kawasan terhadap ahli parlimen Bersatu yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Sebagai Penasihat Pembangkang, Dr Mahathir sepatutnya menasihati Ahli Parlimen di bawah bidang kuasanya untuk berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan dana kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya rasa beliau tidak memberikan nasihat yang baik kepada mereka … saya mohon Tun (Mahathir) untuk menasihati mereka (Ahli Parlimen pembangkang) datang ke meja rundingan… capai kata putus supaya kita selesaikan isu ini dan hidup aman damai,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi juga menegaskan tiada paksaan bagi mana-mana Ahli Parlimen PN untuk menyokong Anwar, termasuk yang terbaru Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Fahmi juga menafikan dakwaan bahawa Syed Abu Hussin Hafiz menyokong kerajaan kerana menerima peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk kawasan yang diwakilinya, yang didakwa diminta oleh beliau.

“Saya tidak fikir begitu. Beliau tidak mendapat RM30 juta. Saya pun tak dapat sebanyak itu… Saya rasa apa yang beliau maksudkan ialah mengutamakan inisiatif dan projek tertentu untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan di kawasannya,” katanya lagi.

Syed Abu Hussin Hafiz pada semalam, secara terbuka mengisytihar menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

BBerkaitan

Latest articles