Kalah PRU, Tun M Sangka Ahmad Zahid Mahu Keluar UMNO, Sertai Bersatu

KUALA LUMPUR: Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 mungkin ‘membuka jalan’ kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menilai kedudukannya di dalam parti dan mempertimbangkan pilihan lain.

Demikian tanggapan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden UMNO, yang bagaimanapun menyaksikan ‘harapannya’ tidak berlaku.

Ujar Dr Mahathir, beliau mengakui pernah berharap Ahmad Zahid akan mengikut langkah beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tetapi beliau (Ahmad Zahid) kelihatan bersungguh-sungguh mahu menghidupkan semula UMNO,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menafikan beliau mengugut untuk mendakwa Ahmad Zahid sekiranya enggan membubarkan UMNO.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu mengakui pernah memberitahu Ahmad Zahid bahawa UMNO tidak dapat dibangkitkan semula lalu menasihatkannya supaya membubarkan parti berkenaan.

Dr Mahathir memaklumkan cadangan itu disuarakan ketika Ahmad Zahid datang berjumpa dengannya selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah PRU14.

“Setakat itu, dakwaan Zahid adalah betul. Tetapi saya tidak mengugut untuk mendakwanya kerana menyeleweng dana Yayasan Akalbudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahmad Zahid mendakwa tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya adalah ekoran ugutan yang dibuat Dr Mahathir supaya beliau membubarkan UMNO.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN diberi pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Dr Mahathir memberitahu, Ahmad Zahid kemudian datang sekali lagi dengan membawa fail yang tebal bagi membuktikan beliau tidak bersalah.

Namun bekas Ahli Parlimen Langkawi itu meminta Ahmad Zahid menunjukkan fail itu kepada hakim kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa.

“Beliau mengambil semula fail tersebut. Saya percaya Peguam Negara (Tan Sri Tommy Thomas) memutuskan untuk mendakwanya dan beliau perlu memberi keterangan di mahkamah.

“Peguam Negara berhak mendakwa sesiapa sahaja jika beliau yakin bahawa ada kes. Pandangan Perdana Menteri tidak diperlukan,” jelasnya.

Dr Mahathir juga berharap agar dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dakwaan Ahmad Zahid itu adalah benar atau sebaliknya.

“Tetapi saya tidak dipanggil. Namun, saya tetap perlu menjelaskan bahawa tidak pernah mengugut Ahmad Zahid,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles