Jeneral Azhan Dilantik Panglima Tentera Darat Ke-31, Pelantikan PAT Ditangguh

KUALA LUMPUR: Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Azhan Md Othman, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Pelantikan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) ke-631 yang bersidang pada 19 November lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan pelantikan berkenaan turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

Menurut beliau, kepimpinan Jeneral Azhan diyakini mampu memperkukuh struktur kepimpinan Tentera Darat Malaysia serta meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi ATM dalam mendepani cabaran pertahanan semasa dan akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled berkata MAT turut memutuskan untuk menangguhkan pelantikan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Beliau telah diarahkan bercuti bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan dirinya.

Sehubungan itu, tugas Panglima Angkatan Tentera akan dipangku oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, selaras dengan pengumuman yang dibuat pada 27 Disember 2025.

Khaled menegaskan, langkah-langkah yang diambil Kementerian Pertahanan bertujuan menegakkan kedaulatan undang-undang dan memelihara integriti ATM, di samping memastikan keupayaan mempertahankan kedaulatan negara terus berjalan dengan berkesan.

BBerkaitan

Latest articles