KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan status sebagai kuasa besar bola sepak tempatan apabila mencipta rekod dunia baharu selepas mencatatkan kemenangan ke-109 berturut-turut tanpa kalah dalam saingan liga.
Rekod bersejarah itu dilakar selepas skuad Harimau Selatan menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Pencapaian tersebut menyaksikan JDT memadam rekod 108 perlawanan tanpa kekalahan yang sebelum ini menjadi milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas, dari 1989 hingga 1994.
Lebih manis, kemenangan itu hadir pada aksi pembukaan Liga Malaysia musim 2026-2027 sekali gus membolehkan JDT mengutip tiga mata dan memulakan kempen Liga Super dengan penuh bergaya.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 apabila Marcos Guilherme menyudahkan hantaran Bergson da Silva untuk menewaskan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli.
Tuan rumah terus mendominasi permainan selepas itu dengan melancarkan serangan bertali arus, selain memperoleh beberapa peluang menerusi sepakan penjuru dan percubaan di dalam serta luar kotak penalti.
Namun, ketangkasan Haziq beberapa kali menyelamatkan gawang Kuching City daripada dibolosi sekali lagi.
Memasuki babak kedua, Kuching City cuba meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Gabriel Nistelrooy. Bagaimanapun, penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi, tangkas menafikan percubaan tersebut.
JDT kemudian kembali menguasai permainan dan menggandakan kelebihan pada minit ke-55 menerusi Oscar Arribas yang melepaskan rembatan kencang untuk menghasilkan gol kedua.
Kuching City terus berdepan tekanan selepas itu, malah JDT hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-80, namun percubaan Oscar sedikit tersasar daripada sasaran.
Kelebihan dua gol akhirnya bertukar menjadi kemenangan lebih selesa apabila Shahab Zahedi menyumbat gol ketiga pada minit ke-86.
Penyerang berkenaan pantas menyambar bola muntah selepas Haziq gagal menangkap kemas percubaan awal JDT, sekali gus memastikan kemenangan 3-0 buat juara bertahan berkenaan.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan di hadapan 32,372 penyokong yang menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan JDT.
Dengan rekod 109 perlawanan liga tanpa kalah, Harimau Selatan kini bukan sahaja memulakan musim baharu dengan kemenangan, malah menulis satu lagi bab penting dalam sejarah bola sepak dunia.










