JAWI Akan Jumpa Lelaki Berpakaian Wanita Di Acara Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan seorang lelaki warga tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa, dalam masa terdekat, bagi tujuan siasatan lanjut.

Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata pihaknya telah mengambil maklum berhubung insiden berkenaan yang tular di media sosial dan siasatan sedang dijalankan bagi mendapatkan penjelasan daripada individu terlibat.

Menurut beliau, JAWI turut mengesahkan individu berkenaan telah dipanggil untuk hadir memberikan keterangan.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki mengenakan gaun mencolok mata, terbelah hingga paras paha, ketika menghadiri majlis Miss & Mister Celebrity International 2025, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan JAWI telah diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung perbuatan tersebut.

Katanya, tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada susulan perbuatan itu yang disifatkan mencabar sensitiviti agama serta norma budaya masyarakat tempatan.

Beliau turut menjelaskan JAWI diarahkan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan kandungan berkaitan insiden itu daripada platform media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia turut memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap penganjur acara berkenaan selepas didapati menggunakan logo tanpa kebenaran.

Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia memaklumkan langkah tersebut diambil bagi melindungi hak harta intelek, integriti jenama serta identiti korporat rasmi negara.

BBerkaitan

Latest articles