Janji PH Hapus Tol Jika Menang PRU15 Satu Temberang – Wee Ka Siong

MELAKA: Rakyat usah terpedaya dengan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol sekiranya diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata, pendirian PH mengulangi janji sama yang tidak dapat dilaksanakan selepas memenangi PRU-14 pada 2018 lalu disifatkan sebagai satu temberang serta tipu helah tidak bertanggungjawab terhadap rakyat.

Malah katanya, tawaran itu turut disifatkan sebagai ‘janji basi’ yang tidak boleh dipercayai.

“Mereka cuba memperbodoh dan memperkotak-katikkan rakyat sebagai catur. Kalau mereka tidak boleh buat dahulu (hapuskan tol) kenapa perlu ulangi semula janji.

“Jadi, saya harap kita tidak terpedaya dan rakyat boleh melihat sendiri apa yang berlaku ketika pemerintahan PH dahulu,” katanya selepas menyantuni pengundi di Lereh dan Tokong Hock Seng Keng, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata sesebuah kerajaan perlu pragmatik dan tidak boleh menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan.

Contohnya, beliau berkata, manifesto yang ditawarkan BN bukan sekadar janji kosong, bahkan ia sesuatu yang mampu direalisasikan.

“Kita akan buat sesuatu yang kita mampu dan ada dokumen penting iaitu Bajet 2023 yang boleh menjadi kesinambungan kepada apa jua bantuan sebagaimana dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles