Jangan Sangka Sudah Popular Kita Perlekeh Orang Tak Sefahaman Politik – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: “Jangan kerana kita menyangka cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik.

“Malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas. Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun dalam khalayak ramai.”

Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, hari ini.

Baginda melahirkan rasa dukacita terhadap sikap beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang mengheret Institusi Diraja dalam ceramah pilihan raya, baru-baru ini.

Bahkan sebilangan ahli dan pemimpin politik tidak lagi hormat terhadap Institusi Raja dan Kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang melayu dan lain-lain bangsa.

Sehubungan itu Baginda mengingatkan setiap pihak luar yang datang ke negeri ini untuk sentiasa beradab dan menghormati tuan rumah.

“Sikap biadap mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah Baginda.

Dalam masa yang sama, Sultan Selangor menggesa setiap pihak menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

“Beta menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

“Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titahnya.

BBerkaitan

Latest articles