KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan isu pelarian, migrasi dan komuniti rentan tidak boleh ditangani melalui sentimen kebencian, diskriminasi atau pengasingan sosial, sebaliknya memerlukan pendekatan yang seimbang antara keselamatan negara dan prinsip kemanusiaan.
Menurut Suhakam, walaupun isu migrasi sering mencetuskan pelbagai pandangan serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat, cabaran berkaitan perpindahan manusia perlu diurus secara matang dan berasaskan fakta.
Suruhanjaya itu menegaskan aspek keselamatan negara, kawalan sempadan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara sememangnya perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan serta agensi berkaitan yang bertanggungjawab mengurus perkara tersebut.
Bagaimanapun, Suhakam mengingatkan bahawa kebimbangan terhadap keselamatan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyebarkan kebencian, penghinaan atau layanan yang mencabuli maruah mana-mana individu dan komuniti.
“Perbezaan pandangan mengenai dasar dan pengurusan sesuatu isu perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta tanpa menjejaskan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Suhakam berpandangan isu migrasi dan pelarian memerlukan penyelesaian menyeluruh menerusi dasar yang berkesan, penguatkuasaan sewajarnya serta kerjasama semua pihak.
Pada masa sama, nilai kemanusiaan dan penghormatan terhadap maruah insan perlu terus dipelihara selari dengan usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan negara.
Bersempena sambutan Maal Hijrah 1448H, Suhakam turut mengajak rakyat Malaysia menghayati makna besar di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang menjadi simbol ketabahan menghadapi penindasan, usaha mencari perlindungan dan pembinaan masyarakat berteraskan keadilan serta keamanan.
Menurut suruhanjaya itu, sejarah hijrah membuktikan bahawa terdapat golongan yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat konflik, penganiayaan dan ketidakamanan, satu realiti yang masih berlaku sehingga kini apabila jutaan manusia di seluruh dunia terus mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat.
Dalam perkembangan sama, Suhakam sekali lagi menyuarakan hasrat agar Malaysia menyertai Konvensyen Pelarian 1951 yang disifatkan sebagai kerangka antarabangsa penting dalam mengurus isu pelarian serta memastikan mereka yang memerlukan perlindungan dilayan mengikut prinsip kemanusiaan sejagat.
Katanya, seramai 146 negara telah menjadi pihak kepada konvensyen tersebut, termasuk beberapa negara ASEAN seperti Kemboja, Filipina dan Timor-Leste.
Sementara menunggu sebarang keputusan mengenai penyertaan konvensyen itu, Suhakam mencadangkan kerajaan menggubal satu dasar nasional yang jelas dan komprehensif berkaitan pelarian serta pencari suaka.
Langkah itu dilihat mampu memperkemaskan urus tadbir, memperkukuh penyelarasan antara agensi, menangani kebimbangan masyarakat secara lebih berkesan serta mewujudkan keseimbangan antara kepentingan negara dan pemeliharaan nilai kemanusiaan.










