Isu Kehilangan Beras: Harga Tidak Terkawal Punca Utama

KUALA LUMPUR: Punca sebenar kehilangan beras di pasaran berpunca daripada isu struktur harga, di mana harga beras import tidak dikawal kerajaan, manakala harga beras tempatan ditetapkan pada RM26 bagi setiap kampit.

Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul, berkata meskipun terdapat perbezaan harga, pada hakikatnya, beras putih tempatan dan beras putih import adalah sama.

“Negara ini mengeluarkan beras putih tempatan, manakala import dilakukan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Namun, kedua-dua beras ini tidak dapat dibezakan. Ini menunjukkan percampuran beras tempatan dan import telah berlaku, tetapi harga beras import tidak dikawal kerajaan.

“Bernas boleh menentukan harga jualan dari gudang, menyebabkan harga beras import melonjak sehingga RM40 sekampit,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Abu Hussin, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menegaskan bahawa manipulasi harga menyebabkan rakyat terbeban.

“Beras tempatan dicampur dengan beras import dan dijual pada harga RM40 sekampit. Akibatnya, rakyat terpaksa berbelanja lebih RM7 juta sehari,” katanya.

Bagi menangani isu ini, beliau mengulangi cadangan agar kerajaan memuktamadkan penetapan harga tunggal bagi beras putih dengan satu gred standard, yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).

“Ia hanya akan mempunyai satu harga siling, tidak kira beras import atau tempatan. Dengan cara ini, ruang untuk manipulasi dapat dihapuskan. Namun, jika kerajaan gagal melaksanakan satu harga dan satu gred, saya yakin manipulasi akan terus berlaku dan rakyat terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal,” ujarnya.

Menurut Syed Abu Hussin, beliau telah membentangkan cadangan satu gred, satu harga dalam Mesyuarat Penuh NACCOL pada 23 Februari 2024, tetapi sehingga kini tiada keputusan muktamad.

“Saya berharap kementerian lebih tegas dalam kawalan harga bagi membanteras kartel dalam industri padi yang selama ini menekan pesawah dan pengguna.

“Jika terdapat perjanjian konsesi dengan Bernas yang menghalang penyelarasan harga tunggal, saya mohon agar kementerian mendedahkan butiran perjanjian tersebut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles