Ismail Sabri Tegaskan Keputusan Bubar Parlimen Tiada Kena Mengena Dengan Parti Politik

SHAH ALAM: Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membubarkan Parlimen tiada kena mengena dengan parti-parti politik selain UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana beliau dari parti berkenaan.

Malah dalam masa yang sama Ismail Sabri menegaskan, perkara itu pun tidak pernah berlaku dan dibincangkan secara terbuka oleh perdana menteri terdahulu tentang tarikh pilihan raya.

“Dulu perdana menteri umum, bubarlah Parlimen, mana ada parti-parti politik lain beri pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran.

“Dulu tak pernah, bukan setakat dulu perundingan dan perbincangan dengan parti lain.

“Kalau kita ingat dulu tak ada, tak pernah cakap dalam media orang berbincang secara terbuka mengenai tarikh pilihan raya, tak pernah,” katanya kepada pemberita di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan aplikasi Idea Bina Negara (IBN) dan Dialog Anak Muda bersama Perdana Menteri di hadapan 4,000 mahasiswa pelbagai universiti.

Sabtu lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan pembubaran Parlimen perlu diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun INI.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan keputusan parti, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada YDPA selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mendedahkan perbincangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen semasa pentadbiran perdana menteri terdahulu juga tidak pernah dibincang dengan partinya sendiri.

“Dengan parti sendiri pun tiada perbincangan, itu dulu, dulu tak ada. Parti sendiri pun tak pernah, parti lain pun tak pernah. Perdana menteri rasa wajar untuk bubar, dia bubarlah,” katanya.

Tegasnya lagi, parti-parti politik lain juga tiada kuasa untuk mempengaruhi perdana menteri untuk menasihati YDPA mengenai tarikh pembubaran.

“Jadi apa yang disebut parti lain itu tak boleh mengubah, tak boleh mempengaruhi dari segi pembubaran Parlimen. Tapi setiap cadangan dan pandangan itu saya akan tengok tetapi tidak boleh mempengaruhi kuasa untuk mencadangkan kepada YDPA untuk pembubaran,” katanya.

Ditanya tentang tarikh pembubaran Parlimen bakal dibuat sebelum Bajet 2023 dibentang ke Parlimen, beliau hanya meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi bakal nanti.

“Ada yang kata bubar sebelum bentang (bajet), ada yang kata bubar selepas bentang hari Isnin, ada yang kata bulan depan, ada kata tahun depan, macam-macam.

“Yang penting kita tunggulah,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles